6 JENIS SAHAM YANG ANDA PERLU KENAL SEBELUM ANDA BELI

Terdapat beberapa jenis saham yang ada di pasaran bursa dan bukan semua saham sebenarnya yang mampu anda beli, maklumlah bukan semua orang mempunyai modal yang besar. Bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’ atau lebih mudah ‘kenal poket sendiri sebelum membeli’.

Seperti yang anda tahu, dalam bursa Malaysia terdapat lebih seribu kaunter yang tersenarai, dan daripada kaunter-kaunter itu terdapat lebih kurang 6 kategori saham yang anda boleh pilih.

Jom kita tengok mana yang berkenan di hati.

  1. SAHAM BANGSAWAN.

Saham bangsawan ialah saham syarikat-syarikat yang besar dan mempunyai rekod perniagaan yang bagus, serta stabil dalam apa jua keadaan ekonomi. 

Saham ini digelar sebagai “blue chip” disebabkan dalam istilah perjudian, blue chip membawa maksud kepada harga yang sangat tinggi dan bernilai. Ini bermakna saham blue chip dikategorikan sebagai saham bangsawan atau memerlukan modal yang besar untuk anda miliki.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan saham syarikat itu bernilai tinggi adalah :

  • Keuntungan yang meningkat setiap tahun.
  • Pengurusan kewangan syarikat yang teratur (tidak banyak hutang).
  • Memberi pulangan dividen setiap tahun kepada pelabur. 

Kebanyakan saham blue chip ini merupakan indek utama kepada KLCI dan akan memainkan peranan yang besar kepada keseluruhan perniagaan saham yang didagangkan di bursa malaysia. 

Antara contoh saham blue chip ialah : 

NESTLE

DLADY 

F&N

PETDAG

KLK

CARLSBG (Jangan cuba beli!)

TENAGA

HAPSENG.

Kaunter F&N : sumber bursamalaysia.com
  1. SAHAM YANG MENINGKAT. 

Saham ini pula merujuk kepada syarikat yang sedang meningkat keuntungannya setiap tahun. Kebiasaannya saham ini bergantung kepada keadaan ekonomi. Sekirannya ekonomi merosot, maka terjejaslah keuntungan syarikat tersebut. 

Contoh bagi saham ini ialah : 

AIRASIA.

MYEG.

TAKAFUL.

  1. SAHAM YANG BERTAHAN 

Dikenali juga sebagai saham defensive yang bermaksud syarikat yang boleh bertahan dari sudut perniagaan mereka dan masih boleh mencatat keuntungan yang baik ketika ekonomi dunia terjejas.

Hebat bukan ? apa agaknya syarikat ini ?

Saham tersebut merupakan saham kepada produk yang anda tetap akan menggunakannya walaupun ekonomi sedang meleset. Kebanyakan saham ini terdiri daripada produk makanan atau minuman. Contohnya ialah syarikat gula (nama sahamnya ialah MSM) ataupun syarikat yang membekalkan tenaga eletrik seperti TNB (nama sahamnya TENAGA) dan sebagainya.

  1. SAHAM SEMASA. 

Saham semasa ialah saham kepada syarikat yang mengikut keadaan ekonomi ataupun keadaan semasa. 

Sebagai contoh pada awal tahun 2020 ketika dunia dikejutkan dengan wabak yang luar biasa, dan pada ketika itu apa sahaja yang berkaitan dengan kesihatan akan menjadi permintaan yang sangat tinggi (high demand) seperti pelitup muka, bahan pembersih tangan, dan alat kelengkapan hospital.

Maka saham syarikat-syarikat yang membekalkan peralatan tersebut akan melonjak tinggi seperti syarikat TOPGLOVE, SUPERMAX, LKL dan lain-lain.

Kaunter Top Glove : sumber bursamalaysia.com
  1. SAHAM SPEKULASI 

Saham spekulasi merupakan saham murah atau dikenali sebagai penny stock

Kebiasaannya saham ini terdiri daripada syarikat yang tidak ada peningkatan dalam jualan tetapi sahamnya akan melonjak secara mendadak apabila ada khabar angin mengatakan syarikat tersebut mendapat mega projek dari kerajaan.

Kebanyakan pelabur baru sangat suka dengan saham ini disebabkan harganya sangat murah dan boleh mendapat untung berlipa kali ganda dalam masa yang singkat. 

Tetapi perlu diingat, jenis saham inilah yang menyebabkan ramai pelabur baru tersangkut di harga tertinggi sedangkan harga saham terus menjunam tanpa memikirkan perasaan dan modal anda.

“HIGH RISK HIGH RETURN” ialah istilah yang sesuai untuk sesiapa yang ingin melabur dalam saham spekulasi atau penny stock ini.

  1. SAHAM JANGKA MASA PANJANG 

Jenis saham yang terakhir ini amat sesuai bagi pelabur yang tidak mencukupi masa dalam mengkaji dan menganalisa saham syarikat atau yang inginkan pulangan (dividen) setiap tahun seperti ASB atau TABUNG HAJI.

Pelaburan ini lebih menguntungkan dan selamat, tetapi memerlukan sedikit masa kepada pelabur. 

Kebanyakan saham jenis ini terdiri daripada REIT (Real Estate Invesment Trust) iaitu amanah pelaburan hartanah. Kebiasaannya saham ini memberikan dividen 4 kali dalam setahun. Contoh sahamnya ialah KLCC.

Itulah jenis-jenis saham yang perlu anda tahu sebelum anda masuk kedalam dunia pelaburan, walau bagaimanapun ilmu merupakan asas pertama dalam dunia pelaburan saham. kerana kebiasaannya kerugian seseorang dalam pelaburan adalah kerana kurangnya ilmu.